Wednesday, 5 November 2014

Seniman Yang Dilupakan

Bukit Mertajam : Kalau kita dengar dialog ini,  "dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba musafir lalu"’ Kita akan ingat siapa dia yang mengucapkan dialog ini. Beliau tidak lain dan tidak bukan Allahyarham Nordin Ahmad.

Allahyarham Nordin Ahmad adalah antara seniman negara yang tersohor. Mungkin tidak setara dengan  Allahyarham Tan Sri P.Ramlee namun penglibatannya dalam dunia perfileman Negara cukup besar. Ketokohan lakonannya  dalam Sri Mersing, Lancang Kuning, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang mahupun Jebat menjadikannya aktor hebat filem Melayu waktu itu.


Beliau yang dilahirkan di Kampung Kota, Permatang Pasir, Bukit Mertajam  pada tahun 1932 telah melakonkan lebih 40 buah filem sepanjang penglibatannya dalam dunia filem yang bermula pada tahun 1950 hingga 1971. Kehebatan lakonan terutama  kepahlawanan pendekar melayu  dipengaruhi sejak di kampungnya, Kampung Kota, Permatang Pasir, Bukit Mertajam.
 Pada masa itu juga  terdapat beberapa gelanggang silat. Kebanyakannya silat yang diajar adalah silat bunga dan silat pulut yang selalu dijadikan acara semasa majlis-majlis tertentu seperti perkahwinan dan sambutan keramaian dimasa dahulu.

Penglibatan Allahyarham Nordin Ahmad dalam dunia lakonan  bermula apabila beliau berkerja sebagai kerani di Singapura pada 1951 dan tidak menyimpan hasrat berlakon sehingga melihat iklan mencari pelakon-pelakon baru di Utusan Melayu. Atas dorongan rakan-rakan beliau menerima jemputan uji bakat bersama Malay Film Productions Ltd. (MFP) tetapi gagal. Pengarah S. Ramanathan yang mengujinya berpendapat Nordin tidak mampu berlakon.


Allahyarham Nordin menerima tawaran berkerja  sebagai buruh kasar di studio MFP dengan harapan dapat menjadi pelakon satu hari kelak. Beliau muncul di beberapa filem termasuk Rayuan Sukma dan Juwita sebagai pelakon tambahan tanpa dialog. Pengarah Haji Mahadi mengambil Nordin menjadi perlakon utama filem Permata di Perlimbahan berganding dengan Maria Menado tetapi filem itu tidak laris. Akibatnya Nordin terpaksa menjadi pelakon tambahan semula. Biarpun begitu dia mencekalkan semangat dan tidak berputus asa.

Rakan Nordin, P.Ramlee lah yang melancarkan kerjaya Nordin bila menawarkannya berlakon watak Teruna bertentang Aduka yang dilakonkan oleh P. Ramlee dalam filem Semerah Padi pada tahun 1956. Kejayaannya sebagai Teruna melonjakkan namanya sebagai seorang bintang filem. Nordin diambil dari studio MFP oleh Cathay-Keris Film Productions dengan tawaran lumayan dan menjadi kesayangan Cathay.

Pengarah-pengarah berlumba-lumba untuk mengambilnya membintangi filem mereka. Disamping jalan cerita yang menarik dan pengarahan yang bagus, Nordin Ahmadlah elemen penting dalam kejayaan filem-filem Cathay Keris seperti filem Hang Jebat arahan Husain Haniff, Cucu Datuk Merah oleh M. Amin dan Seri Mersing oleh Salleh Ghani.


Namun sayang usianya tidak lama dan beliau meninggal dunia muda  Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Besar, Singapura pada 15 Jun 1971 ketika berusia 39 tahun kerana menghidap demam kuning. Beliau meninggalkan balu, Salmah Ibrahim (Salmah Hitam) serta tiga cahaya mata - Asmah, Tuah dan Asnor.

No comments:

Post a Comment