Bukit Mertajam : Kalau kita dengar dialog ini, "dagang Pak Malau dagang bertempat,
dagang hamba musafir lalu"’ Kita akan ingat siapa dia yang mengucapkan
dialog ini. Beliau tidak lain dan tidak bukan Allahyarham Nordin Ahmad.
Allahyarham Nordin Ahmad adalah antara seniman negara yang
tersohor. Mungkin tidak setara dengan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee namun
penglibatannya dalam dunia perfileman Negara cukup besar. Ketokohan lakonannya dalam Sri Mersing, Lancang Kuning, Sultan
Mahmud Mangkat Dijulang mahupun Jebat menjadikannya aktor hebat filem Melayu
waktu itu.
Beliau yang dilahirkan di Kampung Kota, Permatang Pasir,
Bukit Mertajam pada tahun 1932 telah
melakonkan lebih 40 buah filem sepanjang penglibatannya dalam dunia filem yang
bermula pada tahun 1950 hingga 1971. Kehebatan lakonan terutama kepahlawanan pendekar melayu dipengaruhi sejak di kampungnya, Kampung Kota,
Permatang Pasir, Bukit Mertajam.
Pada masa itu juga terdapat beberapa gelanggang silat. Kebanyakannya
silat yang diajar adalah silat bunga dan silat pulut yang selalu dijadikan
acara semasa majlis-majlis tertentu seperti perkahwinan dan sambutan keramaian
dimasa dahulu.
Penglibatan Allahyarham Nordin Ahmad dalam dunia lakonan bermula apabila beliau berkerja sebagai kerani
di Singapura pada 1951 dan tidak menyimpan hasrat berlakon sehingga melihat
iklan mencari pelakon-pelakon baru di Utusan Melayu. Atas dorongan rakan-rakan
beliau menerima jemputan uji bakat bersama Malay Film Productions Ltd. (MFP)
tetapi gagal. Pengarah S. Ramanathan yang mengujinya berpendapat Nordin tidak
mampu berlakon.
Allahyarham Nordin menerima tawaran berkerja sebagai buruh kasar di studio MFP dengan
harapan dapat menjadi pelakon satu hari kelak. Beliau muncul di beberapa filem
termasuk Rayuan Sukma dan Juwita sebagai pelakon tambahan tanpa dialog. Pengarah
Haji Mahadi mengambil Nordin menjadi perlakon utama filem Permata di
Perlimbahan berganding dengan Maria Menado tetapi filem itu tidak laris.
Akibatnya Nordin terpaksa menjadi pelakon tambahan semula. Biarpun begitu dia
mencekalkan semangat dan tidak berputus asa.
Rakan Nordin, P.Ramlee lah yang melancarkan kerjaya Nordin
bila menawarkannya berlakon watak Teruna bertentang Aduka yang dilakonkan oleh
P. Ramlee dalam filem Semerah Padi pada tahun 1956. Kejayaannya sebagai Teruna
melonjakkan namanya sebagai seorang bintang filem. Nordin diambil dari studio
MFP oleh Cathay-Keris Film Productions dengan tawaran lumayan dan menjadi
kesayangan Cathay.

Pengarah-pengarah berlumba-lumba untuk mengambilnya
membintangi filem mereka. Disamping jalan cerita yang menarik dan pengarahan
yang bagus, Nordin Ahmadlah elemen penting dalam kejayaan filem-filem Cathay
Keris seperti filem Hang Jebat arahan Husain Haniff, Cucu Datuk Merah oleh M.
Amin dan Seri Mersing oleh Salleh Ghani.
Namun sayang usianya tidak lama dan beliau meninggal dunia
muda Beliau menghembuskan nafas terakhir
di Hospital Besar, Singapura pada 15 Jun 1971 ketika berusia 39 tahun kerana
menghidap demam kuning. Beliau meninggalkan balu, Salmah Ibrahim (Salmah Hitam)
serta tiga cahaya mata - Asmah, Tuah dan Asnor.